Blogroll

Senarai Tajuk

Agama (497) Al-Quran (24) Amazing (286) Anak (51) Bahaya (59) Berita Dunia (1) Biskut Raya (68) Contest (1) Crazy (127) Doa (14) Download (74) E-Book (4) Fotografi (4) Garage Sale (3) Hiburan (317) Hidayah (24) Hot's (179) Ibadah (26) Info (673) Islam (498) Jahitan (7) Jawatan Kosong (2) Jimak (2) K-Pop (30) Kenderaan (156) Kesihatan (172) Kisah Benar (20) Kisah Sufi (47) Kitab (9) Lawak (93) Misteri (44) Most (67) Movie (85) Nabi Muhammad S.A.W (56) Ngeri (174) Novel (10) Pelancongan (4) Pelik (133) Pendidikan (414) Peraduan (1) Personal (166) Pertahanan (9) Rawatan Islam (6) Renungan (116) Resepi (393) Scarf / Shawl (8) Sejarah (38) Semasa (286) Sempoi (299) SEO (4) Seram (35) Sukan (223) Syiah (4) Teknologi (428) Tips (80) Top (10) Tudung (14) Tutorial (96) Ulama (64) Ustaz Azhar (35) Video (7) WallPaper (1)

Promosi Terbaru!!! Sila Klik Dibawah!!!

Thursday, January 18, 2018

Ulasan Samsung Galaxy A8 2018 – Peranti Kelas Pertengahan Dengan Pelbagai Fungsi Peranti Utama

sumber : https://amanz.my
Pasaran peranti kelas pertengahan dahulunya didominasi oleh Samsung. Peranti keluaran mereka mendapat sambutan kerana mempunyai kombinasi spesifikasi dan fungsi yang baik. Tetapi dengan lambakan peranti dari China, Samsung gagal bersaing dalam peperangan harga. Hasilnya mereka tidak lagi mempunyai pegangan pasaran peranti kelas pertengahan segah dahulu.
Bagi menentang peranti-peranti pesaing yang dijual lebih murah, Samsung menggunakan taktik jualan yang berbeza. Harga peranti tidak dikurangkan sebaliknya mereka menawarkan kemasan lebih premium yang sebelum ini hanya ditemui pada peranti kelas utama. Galaxy A (2017)  dilancarkan dengan kemampuan kalis air dan tubuh kaca sekaligus menjadikannya peranti yang unik di dalam kelasnya.
Tahun lalu Samsung Galaxy A8 dan A8+ telah dilancarkan dengan jualan bermula bulan ini. Ia mengekalkan inovasi Galaxy A tahun lalu dengan beberapa penambahbaikan. Adakah Galaxy A8 2018 berbaloi untuk dimiliki? Ulasan ini akan cuba menjawab persoalan ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy A8 (2018)
Skrin5.6″ FHD+ SAMOLED (441 PPI)
Pemproses2.2 x 2 + 1.6 x 6 GHz Exynos 7885
Cip GrafikMali G-71
RAM4 Gigabyte
Storan32 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama16 Megapixel, f/1.7, PDAF
Kamera Depan16+8 Megapixel, f/1.9+f/1.9
Bateri3000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa, Samsung Pay
Infra MerahTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap Jari, Wajah
Harga JualanRM 1799
Penggunaan nama Samsung Galaxy A8 (2018) mungkin sedikit mengelirukan kerana ia bukan peranti gantian kepada Galaxy A8 (2016). Skrin yang digunakan pada A8 (2018) hanya sebesar 5.6″ dan ini adalah lebih kecil berbanding yang ditemui pada A8 (2016) dan A7 (2017) sebelum ini. Penggunaan rekaan nirbingkai membolehkan skrin lebih besar dan memanjang 18.5:9 digunakan pada peranti yang mempunyai saiz fizikal lebih menghampiri Galaxy A5 (2017).
Skrin SAMOLED ini menyokong resolusi FHD+. Tidak seperti pada Galaxy S8 dan Note 8 ia walaubagaimanapun tidak mempunyai sokongan HDR. Pada waktu yang sama pilihan merubah resolusi skrin juga tidak disertakan pada skrin tetapan Galaxy A8 (2018).
Skrin SAMOLED memang terkenal dengan keterangan serta paparan warna yang cukup menyerlah. Skrin A8 (2018) nyata tidak mengecewakan dengan sudut pandangan yang cukup besar. Tiada komen yang boleh diberikan kepada skrin Samsung yang sudah cukup sinonim dengan kualiti dalam dunia telefon pintar.
Skrin yang cantik dipadankan dengan pemproses lapan teras Exynos 7885, memori sebesar 4GB RAM dan storan 32 GB. Sokongan kad mikroSD sehingga 256 GB disertakan bagi yang inginkan storan lebih besar. Terdapat juga sokongan dwi-SIM nano menggunakan talam jenis hibrid. Ketiga-tiga SIM dan kad MikroSD tidak boleh digunakan secara serentrak. Talam plastik adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum sebelum ia boleh dikeluarkan dari slotnya.
Pemproses Exnynos 7885 ini ialah pemproses lapan teras dengan dua teras Cortex A73 pada kelajuan 2.2 GHz dan enam lagi teras Cortex A53 pada kelajuan 1.6 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali G-71.
Kamera utama 16-Megapixel f/1.7 dipadankan dengan dwi-kamera hadapan16+8-Megapixel f/1.9 + f/1.9. Ini menjadikan Galaxy A8 (2018) peranti pertama keluaran Samsung dengan sistem kamera swafoto berkembar. Seperti pada iPhone X, kamera hadapan ini menyokong mod potret bokeh dan sistem imbasan wajah untuk nyahkunci peranti.
Bateri sebesar 3000 mAh disertakan dengan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging melalui port USB-C. Ini mengekalkan fungsi yang kali pertama diperkenalkan pada Galaxy A tahun lalu.
Perubahan paling drastik tahun ini ialah kedudukan pengimbas cap jari. Ia terletak pada bahagian belakang di bawah lensa kamera. Ini adalah jauh lebih ergonomik berbanding di sisi lensa seperti yang ditemui pada Galaxy S8. Pengimbas lebih senang diakses pada kedudukan ini dan turut mengurangkan kebarangkalian lensa menjadi kotor kerana disentuh jari secara tidak sengaja.
Kemampuan kalis air IP68 dikekalkan. Begitu juga dengan bicu audio 3.5mm, NFC dan Samsung Pay. Ini meletakkan Galaxy A8 (2018) di posisi yang unik kerana kesemua peranti di dalam kelas pertengahan tidak menawarkan fungsi-fungsi yang sama.

Rekabentuk

Peranti ini diiklankan sebagai sebuah peranti nirbingkai. Tetapi ada perbezaan besar di antara skrin A8 (2018) dengan yang ditemui pada Note 8 dan S8.
Pertama sekali tiada sisi dwi-lengkung digunakan. Saiz bezel pada dagu, dahi dan sisi peranti ini adalah lebih tebal dari yang ditemui pada dua peranti utama yang kami sebutkan tadi.
Ini boleh dilihat sebagai positif dan negatif bergantung kepada perspektif berbeza. Ia positif kerana ini bermakna peranti tidak mempunyai permukaan kaca yang besar pada bahagian sisi. Kebarangkalian berlaku kerosakan sekiranya peranti terjatuh lebih rendah kerana bingkai logam akan menyerap hentakan dan bukannya skrin lengkung sisi.
Dari segi negatif pula ia mempunyai nisbah skrin kepada luas permukaan hadapan yang lebih rendah berbanding S8 dan Note 8. Rekaannya bolehlah dikatakan kurang seksi. Pengguna mempunyai dua pilihan di sini. Cantik tetapi terdedah kepada kerosakan atau kurang cantik tetapi lebih tahan lasak.
Bercakap mengenai kaca, panel belakang peranti diperbuat daripada kaca dengan sisi yang melengkung. Panel ini amat licin yang tidak mengejutkan memerangkap kotoran dengan amat pantas.
Saiz fizikal A8 (2018) adalah sama dengan Apple iPhone X. Ia amat selesa digunakan dengan hanya sebelah tangan. Kesemua permukaan skrin boleh diakses tanpa sebarang masalah. Sekiranya ia masih dirasakan terlalu besar, Samsung menawarkan fungsi mengecilkan skrin yang sudah menjadi fungsi standard mereka sejak empat tahun yang lalu.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan pembesar suara mono. Kedudukan pembesar suara ini mungkin sedikit aneh tetapi telah lama digunakan pada peranti Galaxy A. Sisi kiri pula menempatkan butang suara. Kedua-dua butang suara dan kuasa diperbuat daripada logam. Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah bersebelahan bicu audio 3.5mm. Slot SIM dan kad MikroSD pula terletak pada bahagian atas.
Secara keseluruhan rekaan peranti ini tidak banyak berbeza dengan rekaan tahun lalu. Perbezaan hanya terletak pada rekaan skrin yang kini lebih memanjang, tiada lagi butang navigasi fizikal, dwi-kamera swafoto dan kedudukan pengimbas cap jari pada bahagian belakang.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Samsung Experience 8.5. Ini adalah versi Android dan pelancar yang sama seperti yang ditemui pada Galaxy Note 8. Dengan pelancar ini talam aplikasi boleh dibuka dengan hanya menatal skrin dari bahagian bawah skrin. Sekiranya pengguna lebih selesa dengan butang fizikal, pelancar Samsung Experience membolehkan ia dipaparkan pada bahagian hadapan. Susuan grid dan susunan butang navigasi juga boleh dikustomasi oleh pengguna mengikut kehendak pengguna.
Pelancar Samsung Experience 8.5 ini berfungsi dengan lancar sepanjang tempoh ulasan. Pemproses yang berkuasa dan saiz RAM yang mencukupi memastikan masalah sela masa tidak berlaku. Malahan kami merasakan antaramuka A8 (2018) lebih lancar berbanding yang ditemui pada S8 yang masih lagi menggunakan versi 8.1 ketika ulasan ini ditulis.
Seperti biasa apabila menggunakan peranti Samsung, mereka menyediakan pelbagai fungsi tambahan yang tidak ditemui pada Android Asli. Berikut ialah senarai fungsi menarik yang boleh digunakan pemilik Galaxy A8 (2018). Kesemuanya adalah sama seperti yang ditemui pada Note 8, S8 dan Note Fan Edition.
Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.
Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu. Tekan sahaja ikon pada skrin dan pilihan ini akan diberikan.
Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.
Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi dengan dua akaun berbeza secara serentak.
Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.
Face Recognition – Menyahkunci dengan menggunakan wajah pengguna.
Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.
Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon pada muka hadapan. Terdapat pilihan 4×4, 4×6, 5×5 atau 5X6.
Multi Window – Melancarkan dua aplikasi serentak. Sistem Android Asli digunakan dan bukannya antaramuka lama yang ditemui sejak Galaxy Note asal.
One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas atau menatal dari bucu bawa ke atas.
Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.
Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali.
Samsung Pay – Sistem pembayaran nirtunai.
Secure Folder – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari, nombor pin atau paten.
Sleep – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.
Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.
Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Kamera

Kamera utama 16-Megapixel f/1.7 yang digunakan dilengkapi sistem pemfokusan PDAF. Tiada sokongan penstabilan optikal OIS disertakan sebaliknya kesemua penstabilan dilakukan secara elektronik. Dari segi rakaman, kamera utama ini boleh merakam pada tetapan tertinggi 1080P 30 FPS sahaja. Pada tetapan tertinggi 16-Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada tetapan 16:9 pengguna perlu menurunkan resolusi kamera ke 12-Megapixel. Pada waktu yang sama terdapat sokongan merakam pada nisbah 18.5: 9 sama seperti yang diperkenalkan pada Note 8 sebelum ini.
Kamera hadapan pula ialah gabungan 16+8 Megapixel f/1.9+f/1.9 dengan lensa fixed focus. Seperti kamera utama, hanya sokongan penstabilan elektronik disertakan. Kerana penggunaan dwi-kamera, kamera hadapan ini menyokong sistem Live Focus yang membolehkan gambar dengan kesan bokeh diambil.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar dari kamera utama 16-Megapixel adalah sederhana. Penghasilan warna sedikit suram tetapi mempunyai ketajaman yang memuaskan. Di dalam situasi pencahayaan yang baik, gambar yang diambil amat memuaskan cuma seperti kami katakan tadi penghasilan semula warna sedikit kurang bermaya. Apabila di dalam situasi pencahayaan yang sedikit suram, masalah yang kerap dilihat pada peranti kelas pertengahan mula kelihatan.
Ketajaman gambar berkurangan dan kelihatan lebih lembut. Pada sumber cahaya, masalah blooming akan kelihatan dengan jelas. Penggunaan lensa f/1.7 sekurang-kurangnya mengurangkan masalah noise dan gambar yang diambil adalah lebih terang jika dibandingkan dengan peranti lain di dalam kelas yang sama.

Live Focus

Kamera selfie mengambil gambar yang baik pada situasi pencahayaan yang memuaskan. Sistem Live Focus membolehkan latar belakang dikaburkan selepas gambar diambil. Perisian Live Focus pada A8 2018 telah dikemaskini bagi memudahkan proses rakaman ini. Tetapi seperti pada Note 8, ia masih belum cukup sempurna dengan kadang-kala pemisahan objek dengan latar belakang tidak dilakukan dengan cukup tepat. Seperti pada Note 8 dan iPhone X, perisian kesan khas bokeh perlu dipertingkatkan lagi bagi memberikan kualiti gambar yang memuaskan sepanjang masa.

Audio

Keunikan siri Galaxy A terletak pada pembesar suara yang diletakkan pada sisi sebelah kanan. Ini mungkin agak aneh jika dibandingkan dengan kedudukannya pada peranti lain iaitu di bahagian bawah. Tetapi terdapat logik di sebalik kedudukannya yang sedikit aneh ini. Apabila menonton video atau memainkan permua, audio dihalakan ke atas (sekiranya peranti dipegang pada kedudukan mendatar). Tiada masalah kekisi pembesar suara tertutup oleh tangan.
Dari segi kualiti audio, Galaxy A8 (2018) menghasilkan kualiti audio yang sederhana sahaja. Pembesar suara walaupun kuat hanya menyokong audio mono. Mendengar audio menggunakan fon kepala secara berwayar atau bluetooth memuaskan tetapi tidak akan dapat menandingi apa yang boleh dihasilkan peranti utama seperti Galaxy S8 atau Apple iPhone X. Namun ini bukanlah sesuatu yang mengecewakan kerana Galaxy A8 ialah sebuah peranti kelas pertengahan.

Penanda Aras

Pemproses Exynos 7885  yang digunakan dilengkapi lapan teras. Konfigurasi teras pemproses ini agak unik iaitu dua teras pada kelajuan 2.2 GHz dan enam teras pada kelajuan 1.6 GHz. Apabila ujian penanda aras dilakukan, peranti mencatatkan 85213 markah dalam ujian Antutu dan 14554 markah dalam ujian Futuremark. Ini adalah markah yang lebih tinggi berbanding pemproses Snapdragon 625.
Dalam kegunaan harian kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa atau aplikasi gagal berfungsi. Peranti turut berfungsi tanpa sebarang masalah pemanasan melampau. Sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu tiada sebarang masalah besar berlaku. Apabila memainkan permua, kadar FPS permainan adalah memuaskan.

Bateri

Pada penggunaan paling berat peranti bertahan selama 17 jam 12 minit dengan skrin terpasang selama 7 jam 50 minit. Pada penggunaan sederhana pula peranti bertahan selama 23 Jam 2 minit dengan skrin terpasang selama hampir 4 jam 35 minit. Ini ialah hayat bateri yang amat baik bagi sebuah peranti yang hanya dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Samsung Galaxy A8 (2018) tidak akan mempunyai masalah berfungsi hampir sepanjang hari tanpa perlu dicas.
Terdapat juga sokongan pengecasan pantas Adaptive Quick Charging Samsung. Dengan sistem pengecasan yang menggunakan port USB-C ini, peranti dapat dicas dari sifar sehingga penuh dalam masa sekitar 100 minit. Pada tahun 2018, kami merasakan sistem pengecasan pantas sepatutnya disertakan pada kesemua peranti tetapi masih terdapat beberapa pengeluar yang enggan menyertakannya atas sebab harga.

Pesaing

Samsung Galaxy A8 (2018) bersaing di dalam pasaran peranti kelas pertengahan dengan skrin nirbingkai. Oleh itu kami merasakan Huawei Nova 2i dan Oppo F5 adalah peranti pesaing yang paling hampir dengannya. Berikut ialah perbezaan spesifikasi di antara ketiga-tiga peranti.
Peranti Pesaing
Samsung Galaxy A8 (2018)Huawei Nova 2iOppo F5
5.6″ SAMOLED FHD+ (441 PPI)5.9″ IPS LCD FHD+ 407 PPI)6″ LTPS LCD FHD+ (402 PPI)
2.2 x 2 + 1.6 x 6 GHz Exynos 78852.36 x 4 + 1.7 x 4 GHz Kirin 6592.3 GHz Lapan Teras MediaTek Helio P23
Mali G-71Mali-T830 MP2Mali-G71 MP2
4 Gigabyte4 Gigabyte4 Gigabyte
32 Gigabyte (256 GB MikroSD)64 Gigabyte (256 GB MikroSD)32 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 16-Megapixel  f/1.7, PDAFKamera Utama 16+2 Megapixel, f/2.0. PDAFKamera Utama 16 Megapixel, f/1.8, PDAF
Kamera Hadapan 16+8 Megapixel, f/1.9+f/1.9Kamera Hadapan 13+2 Megapixel, f/2.0Kamera Hadapan 20Megapixel, f/2.0.
Kalis air IP 68Tidak kalis airTidak kalis air
3000 mAh (Pengecasan Pantas)3340 mAh3200 mAh
RM1799RM 1299RM 1298

Kesimpulan

Samsung Galaxy A8 (2018) menawarkan beberapa perubahan kecil berbanding model tahun lalu. Paling ketara ialah pengguna skrin 5,6″ SAMOLED Infinity Display dengan nisbah 18.5:9. Ini menjadikan rekaan peranti ini lebih selari dengan kehendak pasaran semasa. Penggunaan skrin SAMOLED memastikan skrin dengan mudah dapat dilihat di bawah cahaya matahari serta mempunyai sudut pandangan yang baik. Perbezaan skrin ini dengan yang ditemui pada S8 dan Note 8 ialah tiadanya sokongan HDR. Buat masa ini fungsi HDR nampaknya hanya akan ditemui pada peranti-peranti utama.
Dari segi rekaan ia mengekalkan rekaan panel belakang berkaca tahun lalu dengan pengimbas cap jari kini pada bahagian belakang. Ini ialah kedudukan pengimbas yang lebih mudah diakses berbanding peranti Galaxy yang lain. Namun rekaan ini memerangkap kotoran dengan mudah dan menjadikannya peranti yang licin.
Kemampuan kamera adalah sederhana jika dibandingkan dengan peranti utama tetapi memuaskan bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Sistem dwi-kamera swafoto menyokong Live Focus untuk mengambil gambar dengan kesan bokeh. Seperti pada Note 8 sebelum ini, kami merasakan sistem ini masih belum cukup sempurna dengan kesan bokeh yang kelihatan sedikit palsu.
Kekuatan A8 2018 pada hemat kami terletak pada bateri yang hampir bertahan sepanjang hari dengan skrin terpasang hampir 8 jam. Pengecasan pantas juga disertakan apabila kehabisan bateri. Selain daripada itu ia juga mempunyai ketahanan kalis air IP68, sokongan Samsung Pay, pembantu maya Bixby, nyahkunci menggunakan wajah dan mampu menggunakan peranti realiti maya Gear VR. Ini memberikannya kelebihan berbanding peranti kelas pertengahan yang lain.
Dengan harga jualan RM 1799 ia bolehkah dikatakan mahal bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Tetapi harus diingatkan Galaxy A8 (2018) ini mempunyai binaan premium dan kemampuan kalis air yang tidak ditawarkan oleh peranti-peranti pesaing. Jika kedua-dua fitur ini penting bagi anda pada peranti kelas pertengahan, hanya A8 (2018) mampu memenuhinya.
KELEBIHANKEKURANGAN
  • Skrin SAMOLED yang digunakan mempunyai paparan yang terang dan mudah dilihat di bawah cahaya matahari.
  • Pemproses yang baik. Peranti berfungsi dengan lancar.
  • Kemampuan kali air IP68 unik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.
  • Ketahanan bateri yang baik mampu bertahan hampir sepanjang hari.
  • Sokongan pengecasan pantas dengan pengecas disertakan dengan setiap pembelian.
  • Kemampuan kamera yang bagi sebuah peranti kelas pertengahan.
  • Pengimbas cap jari terletak pada kedudukan yang baik.
  • Pembesar suara masih lagi mono.
  • Panel kaca pada bahagian belakang mudah memerangkap kotoran dan menjadikan peranti licin.
  • Masih menggunakan Android 7.1.1 tanpa tarikh bilakah Oreo akan diterima.
  • Sistem Live Focus pada kamera hadapan masih belum berfungsi dengan sempurna.

0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum & Salam Sejahtera! Terima kasih atas kunjungan..Semoga ada manfaat bersama..Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More