Blogroll

Senarai Tajuk

Agama (500) Al-Quran (24) Amazing (284) Anak (50) Bahaya (59) Berita Dunia (1) Biskut Raya (68) Contest (1) Crazy (125) Doa (14) Download (74) E-Book (4) Fotografi (4) Garage Sale (3) Hiburan (316) Hidayah (26) Hot's (178) Ibadah (26) Info (660) Jahitan (7) Jawatan Kosong (2) Jimak (2) K-Pop (30) Kenderaan (148) Kesihatan (167) Kisah Benar (19) Kisah Sufi (47) Kitab (9) Lawak (93) Misteri (44) Most (67) Movie (85) Nabi Muhammad S.A.W (54) Ngeri (174) Novel (10) Pelancongan (2) Pelik (131) Pendidikan (405) Peraduan (1) Personal (165) Pertahanan (9) Rawatan Islam (6) Renungan (115) Resepi (357) Scarf / Shawl (8) Sejarah (38) Semasa (283) Sempoi (297) SEO (4) Seram (35) Sukan (222) Syiah (4) Teknologi (368) Tips (77) Top (10) Tudung (14) Tutorial (96) Ulama (54) Ustaz Azhar (35) Video (7) WallPaper (1) Yahudi (29)

Promosi Terbaru!!! Sila Klik Dibawah!!!

Monday, November 30, 2015

Rahsia BAGAIMANA ISLAM PERLU DITEGAKKAN?

Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa ingin doanya dimakbul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi kesulitan orang lain. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Hari ini di seluruh dunia kalau kita mengajak umat Islam agar menjadikan syariat Islam yang bersumberkan dan Al Quran dan Sunnah, sebagai undang-undang hidup, ramai di kalangan umat Islam rasa tidak senang. Yang tidak senang itu bukan orang Islam biasa sahaja tapi cerdik pandainya, terutama yang mendapat pendidikan Barat yang turut rasa tidak senang dan membangkang. Bahkan sebahagian ulama pun akan ada yang berdalih dengan mendatangkan berbagai-bagai hujah mengapa Islam itu tidak boleh dijadikan perlembagaan hidup di dalam negara. 

Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan perlembagaan dan undang-undang ada yang mencemik, ada yang kerut muka, ada yang mengatakan nanti apa kata bangsa lain, nanti orang takut, boleh membawa huru-hara, kita tidak mahu patah ke belakang, kita akan jadi mundur bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.
Kalau Islam itu sebagai aqidah dan ibadah, tidak mengapa, mereka tidak menyanggah kerana yang menentang itu pun sebahagiannya orang yang beraqidah dan melaksanakan ibadah. Cuma yang mereka tidak setuju undang-undang Islam itu dijadikan perlembagaan hidup, mereka tidak boleh terima. Kalau kita mendatangkan hujah-hujah dan dalil-dalil dari nas-nas Al Quran dan Sunnah pun mereka tidak akan bersetuju. Orang Islam zaman kini lebih senang menerima logik akal atau secara berfikiran yang rasional, katanya kini adalah zaman teknologi, zaman IT, zaman globalisasi, zaman langit terbuka dan tiada border, bukan zaman unta.
Sekiranya kita serius juga memperjuangkan serta beria-ia sangat untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, di halang, dibuang, dituduh memecah-belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kemudian dicarilah alasan untuk dia disimpan. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat, ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.
Sebenarnya kalau kita menggunakan hujah akal pun adalah logik dan rasional serta patut bahawa Islam itu munasabah dijadikan undang-undang hidup untuk semua manusia di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan mereka. Kalau jiwa tidak berpenyakit, akal mereka pun boleh menerimanya, mengapa Islam itu patut dijadikan perlembagaan hidup. Tapi apabila jiwa sudah berpenyakit, terutama penyakit cinta dunia dan kuasa, hujah apa sekalipun dibawa, orang yang jiwa berpenyakit itu tidak akan menerimanya, mereka tetap juga akan berdalih dan menolaknya.
Di sini mari kita membawa hujah-hujah dan dalil-dalil akal yang kita rasa amat logik dan rasional bahawa mengapa syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah itu patut dijadikan perlembagaan hidup manusia sejagat bukan hanya sekadar di dalam sebuah negara sahaja di antaranya seperti berikut:
1. Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaan-Nya juga. Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan Tuhan dan milik-Nya dan manusia hanya menumpang sementara waktu. Oleh yang demikian adalah tidak logik dan masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman kepada hamba-hamba-Nya, demi kebaikan dan keselamatan hamba-Nya tidak membuat peraturan untuk manusia tapi manusia yang menumpang yang berhak membuat peraturan.
Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan disiplin atau yang empunya rumah itu membuat peraturan dan disiplin? Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima bahawa peraturan itu adalah dari yang punya rumah itu. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan rumah tumpangan itu.
2. Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tanpa peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan. Apatah lagi Tuhan pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya. Demi keselamatan hamba-hamba-Nya sudah pasti dia membuat peraturan-peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang, tidak masuk akal setelah makhluk dicipta kemudian dibiarkan tanpa peraturan sedang manusia pun bila membuat sesuatu ada peraturan?!
3. Di dalam kehidupan kita di dunia tidak pernah berlaku bahawa setiap sesuatu ciptaan itu demi keselamatan barang rekaan katalognya dibuat oleh si pemakai atau pengguna. Biasanya tukang cipta tentulah lebih arif tentang ciptaannya daripada pengguna kerana itulah katalog kereta, pencipta keretalah yang membuat peraturan kereta itu. Begitulah lebih logik lagi akal boleh menerima bahawa dunia dan manusia ciptaan Tuhan, demi keselamatan dunia terutama keselamatan manusia Allah yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya itu maka sudah tentu Allah membuat peraturan iaitu syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.
4. Akal dan fitrah semulajadi kita adalah tidak boleh menerima jika ada orang datang ke rumah kita, dia memandai-mandai membuat peraturan. Dialah yang menentukan peraturan-peraturan di rumah kita, dia boleh berbuat sesuka hati. Begitulah juga akal yang waras dan jiwa atau fitrah yang bersih, bahawa kita hamba Allah yang menumpang di dunia ciptaan-Nya sudah tentu boleh menerima bahawa kita tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di dunia ini sesuka hati dan membuat apa sahaja dengan semahu-mahunya kita. Kerana dunia ini bukan ciptaan dan kepunyaan kita.
Kita ini adalah ciptaan Allah. Kita hanya menumpang sementara waktu. Adalah dianggap tidak beradab kita yang membuat peraturan dan bertindak sesuka hati, kemudian kita tolak peraturan dari Allah pencipta bumi tempat kita menumpang ini dan juga yang mencipta kita. Sepatutnya kita rasa malu dan merasa bersalah jika kita menolak peraturan Tuhan.
5. Katalah di dalam sebuah rumah yang besar, di dalamnya ada keluarga yang besar, yang dikepalai oleh seorang ayah yang bijaksana dan bertanggungjawab, demi kebaikan keluarga itu dan agar supaya mereka boleh bersatu padu, aman damai, mana lebih logik diterima oleh seluruh keluarga, peraturan yang ayah ketua keluargakah yang boleh menyatupadukan atau setiap orang bebas membuat peraturan untuk semua?
Fitrah semulajadi dan akal yang waras tentu boleh menerima bahawa menerima peraturan dan ayah itu sudah tentu lebih mudah diterima bersama kerana yang membuat peraturan itu adalah ayah bersama. Tiada siapa yang iri hati. Tapi kalau dibebaskan setiap orang membuat peraturan untuk semua di dalam rumah itu tentu akan timbul perbalahan kerana abang yang tua tentu tidak boleh menerima pandangan adik kerana dia merasa tercabar. Mengapa patut saya mengikut adik. Yang adik pula walaupun dia adik, dia lebih merasa pandai dari abang-abang mereka kerana abang mereka bersekolah rendah sahaja, aku kelulusan universiti, mengapa pula aku mesti ikut abang yang tidak berpelajaran. Atau setiap orang membuat cadangan, mesti ada kepentingan, yang lain tidak akan boleh terima kerana curiga.
Begitulah di dalam dunia ini ada berbagai-bagai kaum dan bangsa-bangsa. Sama-sama duduk di bumi Tuhan, Tuhan bersama, dan bersama-sama menumpang. Kalau setiap orang atau kaum atau bangsa membuat peraturan, seperti ideologi ciptaan, faham sosialisme, nasionalisme, komunisme, kapitalisma, untuk diguna pakai kepada semua manusia, manusia yang sama menumpang itu tentu menganggap orang yang mencetuskan sistem hidup mesti ada kepentingan untuk kaum, bangsa atau kelompoknya. Ertinya ada yang curiga.
Selain itu ada golongan lain pula yang akan merasa tercabar. Mereka akan berkata, manusia macam kami juga, kami juga ada kemampuan membuat sistem hidup. Mengapa kita mesti ikut mereka. Kerana manusia ini ada ego, payah hendak mengikut satu sama lain. Kalau begitu, bila manusia hendak bersatu? Tapi kalau semua manusia ini menerima hak Tuhan itu Tuhan yang sama yang mencipta bumi dan mereka manusia, dan sama-sama menumpang di bumi Tuhan, ego mereka tidak akan terpukul dan tercabar. Kerana menerima Tuhan yang kepunyaan bersama iaitu Tuhan bersama. Kalau ada yang menentang itu manusia yang sudah terlalu jahat kerana yang kena cipta (makhluk) hendak melawan Khaliqnya.
6. Di dalam kehidupan manusia di dunia ini, demi keperluan dan kepentingan mereka, manusia memerlukan berbagai-bagai sistem hidup, seperti sistem politik, ekonomi, masyarakat, pendidikan, perhubungan, ketenteraan, kebudayaan, antarabangsa, kalau begitu apa yang hendak ditakutkan sangat dengan undang-undang Islam kerana di dalamnya mengandungi berbagai-bagai sistem kehidupan yang lebih mantap, baik lagi adil demi untuk kebaikan manusia sejagat.
Hal ini telah berjalan beberapa lama yang telah dibuktikan oleh sejarah sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke tujuh ratus tahun kemudian dan semua kaum dan bangsa yang bemaung di bawah sistem itu rasa selamat dan berpuas hati, sekalipun ada kalangan mereka tidak menukar aqidah dan agamanya. Mereka berasa selesa duduk di bawah sistem Islam yang dibawa oleh umat Islam daripada undang-undang dan peraturan hidup yang dibuat oleh bangsanya sendiri.
7. Selain aqidah dan ibadah bahawa peraturan dan undang-undang serta akhlak di dalam Islam ia bersifat sejagat. Ertinya fitrah semulajadi boleh menerima dan boleh berkongsi bersama bahkan apa yang dikongsikan bersama itu, mereka bersama-sama mencari, semua orang dan golongan menginginkan kerana ia merupakan keindahan hidup manusia. Saya bawa beberapa contoh yang diterima dan keinginan bersama, sifat-sifat positif seperti adil, jujur, menunai janji, penyayang, pemurah, mengutamakan orang lain, kerjasama, memberi maaf, meminta maaf.
Sifat-sifat negatif yang dibenci bersama seperti benci kepada perzinaan, mencuri, menipu, khianat, berbohong, membunuh, merompak, menzalim, pemalas. Di dalam Islam perkara-perkara yang positif tadi sangat digalakkan dan dipuji diberi pahala oleh Allah dan sifat-sifat negatif tadi sangat dibenci, sangat ditentang, di dunia lagi ada hukuman-hukumannya, tidak perlu disebutkan di sini dan di Akhirat kena hukum lagi iaitu dicampakkan ke dalam Neraka.
Di dalam ajaran agama lain dan di dalam mana-mana ideologi dua perkara yang kita sebutkan itu tidak ada dipentingkan. Kalau ada pun disebut tidak serius, tidak seperti di dalam ajaran Islam.
8. Keindahan dan kebaikan sistem Islam itu telah terbukti, dia telah dicatat di dalam sejarah bahkan telah dijadikan bahan kajian. Keindahan dan kebaikannya telah diterima bersama oleh kaum, bangsa dan berbagai-bagai penganut agama lain seperti kristian, Yahudi. Mereka rasa terjamin dan amat selesa duduk di dalam sistem itu.
Ini belum dapat dibuktikan oleh mana-mana sistem yang lain seperti faham yang dibawa oleh Barat sama ada bersifat agama iaitu agama Kristian atau bersifat ideologi seperti faham liberal kapitalisma, dan juga China dan Rusia dengan faham komunis.
Sejarah telah mencatatkan mereka dengan ideologi mereka penuh dengan sejarah hitam, berlaku berbagai-bagai penzaliman dan penindasan. Manusia hidup di dalam neraka, walaupun di masa yang sama mereka membawa ilmu kemajuan dan pembangunan terutama yang menderita di bawah sistem mereka adalah umat Islam, dunia tahu hal, tiada siapa yang boleh menafikan.
9. Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat kemudian negara-negara umat Islam telah merdeka satu demi satu sejak 60 tahun yang lampau hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka ini undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama, di dalam amalan belum berjalan betul dan serius.
Negara-negara umat Islam ada yang undang-undang negaranya berdasarkan sosialisme, nasionalisme, ada yang berdasarkan liberal kapitalisme atau faham demokrasi Barat dengan tujuan untuk membangunkan perpaduan, kasih sayang, kemajuan, ilmu pengetahuan, pembangunan, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keharmonian masyarakat, bersih daripada gejala-gejala negatif dan tidak sihat.
Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, masih takut, bimbang, bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam tapi apa telah terjadi? Secara umum kemajuan dan pembangunan belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain, krisis politik masih tidak habis-habis, ekonomi banyak negara umat Islam yang miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya.
Kalau ada negara yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas namun rakyat umum masih ramai yang papa kedana, pergaduhan, pergeseran, pembunuhan, peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat, dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang muhrim masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku dengan sebab-sebab sistem-sistem yang telah disebut tadi bukan kerana berjalan undang-undang Islam di negara-negara itu.
Patutnya pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf, terutama yang insaf itu sepatutnya para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendiakawan-cendiakawan, pemimpin-pemimpin masyarakat kerana mereka yang boleh berfikir. Sepatutnya waktu itulah umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dan tekad yang Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah membuktikan kebaikan beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain.
Oleh itu apalagi hendak ditunggu-tunggu lagi, dengan sistem orang lain sudah kita cuba hasilnya kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat, kemelaratan. Apakah kita hendak teruskan undang-undang yang kita pinjam itu yang telah merosakkan kita? Atau tunjukkanlah keberanian kita itu menerima Islam semula secara total sebagai perlembagaan hidup demi kebaikan kita dan juga alam sejagat.
10. Barat dengan faham dan ideologi mereka di sudut ilmu dan fizikal mereka berjaya, mereka telah meneroka berbagai-bagai bidang ilmu, sains dan teknologi mereka tinggi dan canggih, kemajuan dan pembangunan mereka mengkagumkan tapi di segi atau di aspek pembangunan insaniahnya gagal, punah-ranah, musnah, hancur dan lebur.
Apa tidaknya, malu sudah tiada, seks dan kehidupan lucah macam binatang merata dan menjolok mata, rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya, zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja, sistem kekeluargaan punah-ranah, hidup nafsi-nafsi jadi budaya, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja, agama sudah tiada tempat, orang tua terbiar, orang muda liar, bunuh, tembak-menembak jadi hiburan, bunuh diri sebagai jalan keluar menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan.
Pemimpin-pemimpin, cerdik pandai, pemimpin masyarakat, mereka telah bingung ingin cari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada tapi tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam tidak ada model, umat Islam pun macam mereka kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama. Oleh itu mengapa umat Islam tidak mahu berfikir lagi? 
Mengapa kita mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka telah merosakkan insaniah manusia. Boleh membangunkan fizikal tapi memusnahkan insaniah, mereka dengan sistem hidup mereka berjaya melahirkan lambang-lambang kebesaran syaitan yang rupa manusia, lambang-lambang kebesaran haiwan yang berupa manusia, lambang-lambang kebesaran pokok kayu di hutan rimba berupa manusia, gagal melahirkan lambang-lambang Tuhan pada diri manusia.
Itulah di antara hujah-hujah kita mengapa manusia sejagat terutama umat Islam sendiri patut dan mesti menerima undang-undang Islam sebagai perlembagaan hidup. Hujah-hujah yang telah diberi tadi akal boleh menerima bahkan memang logik sangat diterima. Oleh itu apa lagi yang tidak kena dengan undang-undang Islam? Apa lagi yang hendak ditakuti? Lebih-lebih lagi umat Islam, akal pun merasakan undang-undang Islam itu tidak kolot, tidak ketinggalan zaman, rasional, undang-undang Islam itu patut didaulatkan adalah logik, tidak memalukan.
Akal yang waras dan tidak prejudis boleh menerima bahkan terasa patut diterima. Kita harap moga-moga negara kita Malaysia adalah negara pertama di dunia di akhir zaman yang akan menerima Islam sebagai perlembagaan negara.

0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum & Salam Sejahtera! Terima kasih atas kunjungan..Semoga ada manfaat bersama..Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jadual Kuliah Ustaz Azhar Idrus 2016

Jadual Kuliah Ustaz Azhar Idrus 2016

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More