Pensyarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Che Moin Umar, menepis dakwaan tersebut dan tiada kecelaruan dalam mengendalikan pengurusan selepas banjir berikutan terdapat prosedur operasi standard (SOP) mengenainya. “Segala pengurusan banjir ini telah pun disusun dengan baik dan terancang, namun yang sering menjadi masalah adalah cara penyampaian maklumat kepada orang ramai. Adakah ia telah dilakukan dengan tepat dan betul? “Seperti mana yang kita maklum, banyak kejadian yang berlaku adalah mangsa banjir terperangkap akibat air yang naik terlalu pantas.


“Di sini adakah maklumat yang diterima mereka tepat untuk memudahkan mangsa banjir ini membuat keputusan untuk berpindah secepat mungkin,” soalnya ketika memulakan sesi perbincangan pada program Bicara Persada XVII, Banjir 2014/2015 Merungkai Kecelaruan di Bangi, Selangor baru-baru ini. Beliau turut membangkitkan isu barangan bantuan yang tidak diterima dengan cepat oleh mangsa banjir yang terperangkap akibat kekurangan bot yang mengutamakan misi menyelamat selain sikap segelintir mereka yang berdegil untuk berpindah ke pusat pemindahan. Dalam pada itu katanya, barangan bantuan dikumpulkan di pusat pengumpulan mangsa banjir dan pasukan bantuan tidak mampu untuk menghantar bantuan makanan ke setiap rumah melainkan mangsa sendiri perlu mengambilnya akibat kekangan 
tersebut.

“Terdapat juga sikap segelintir mangsa banjir yang tidak mahu bekerjasama selain memilih makanan tertentu, walhal petugas bantuan telah bertungkus lumus untuk membantu mereka. “Biarpun tidak semua bersikap sedemikian namun segelintir mangsa banjir ini kadangkala menyukarkan kerja-kerja menyelamat dan membantu mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ahli Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY), Prof. Madya Dr. Shalimar Abdullah berkata, bagi misi perubatan pula, cabaran utama yang dilalui adalah pertindihan kumpulan pasukan perubatan yang datang secara persendirian di kawasan-kawasan banjir.


Jelasnya, ada sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mendaftar dengan pihak berkuasa menyebabkan berlakunya pertindihan (dalam menghulur bantuan). “Kebiasaanya pasukan perubatan MERCY akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat sebelum diatur gerak ke lokasi bencana yang memerlukan. “Bagaimanapun apabila sampai ke lokasi yang dinyatakan, telah ada kumpulan perubatan dari NGO lain di sana menyebabkan masa kami terbuang begitu sahaja. “Adalah penting sebenarnya NGO ini mendaftar atau memaklumkan kepada agensi yang telibat agar pertindihan dan pembaziran masa berlaku,” katanya. Dalam pada itu, pakar klimatologi dan oseanografi UKM, Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, bencana alam yang berlaku baru-baru ini berkait rapat dengan faktor perubahan cuaca yang sedang melanda dunia pada hari ini.


“Kita lihat banjir besar yang berlaku di selatan tanah air iaitu pada 2006 dan 2007 dan sela tidak sampai 10 tahun kejadian yang sama berulang. “Negara kita terletak di antara dua lautan luas iaitu Lautan Pasifik dan Lautan Hindi membawa kadar lembapan yang tinggi dan dicurahkan ke negara ini,” katanya. Fredolin turut menyatakan bahawa perubahan cuaca yang berlaku kini turut disumbangkan oleh tangan manusia itu sendiri. “Pembukaan tanah secara berleluasa, perindustrian dan pelbagai lagi turut meningkatkan kadar pelepasan gas karbon sekaligus meningkatkan lagi fenomena rumah hijau yang menyebabkan kadar kenaikan laut yg mendadak kerana litupan ais semakin mencair,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kuasa alam tidak dapat dihalang oleh manusia justeru apa yang perlu dilakukan adalah bagaimana mengurangkan risiko akibat bencana alam seperti banjir. Ini kerana katanya, jika dilihat kepada keragaman cuaca pada kini, kejadian seperti banjir besar baru-baru ini bakal berulang dalam masa terdekat. “Jika dahulu kejadian banjir besar berlaku mungkin sekali dalam 20 tahun, namun kekerapannya semakin meningkat kepada sekali dalam jangka masa 10 tahun atau lebih kerap akibat perubahan cuaca yang berlaku hari ini,” katanya.
Dijangkakan kejadian banjir yang lebih teruk bakal melanda negara dengan kekerapan 10 tahun sekali berbanding dahulu hanya 20 tahun sekali.
Beliau yang juga Koordinator Kajian Pengecilan Iklim Serantau Terselaras (Cordex), Asia Tenggara berkata, kenaikan suhu purata di seluruh dunia sebanyak 0.87 darjah Celcius kini berbanding 100 tahun dahulu menyebabkan kekuatan fenomena El Nino, La Nina, dan Ayunan Madden-Jullian (MJO) akan semakin meningkat. “Kesan peningkatan tersebut telah kita rasai semasa bencana banjir besar yang melanda negeri-negeri di sebelah Pantai Timur baru-baru ini.

“Malah, laporan Sintesis ke-5, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) pada November tahun lalu mengesahkan kekerapan fenomena ekstrem dan kejadian bencana alam berkait rapat dengan perubahan iklim,” katanya.
Dr. Fredolin berkata, perubahan iklim dunia akibat peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutamnya karbon dioksida di atmosfera berlaku kerana kegiatan manusia itu sendiri.

“Kajian mengenai banjir di Johor pada tahun 2006 dan 2007 dan bahagian selatan tanah air menunjukkan keragaman iklim di Malaysia perubahan iklim sejagat dari laporan IPCC terkini,” katanya. Peningkatan setiap satu darjah celcius akan meningkatkan tujuh peratus kelembapan di atmosfera sekali gus meningkatkan kadar cuaca yang ekstrem berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dalam pada itu, Dr. Fredolin turut menyatakan fenomena MJO merupakan penyebab utama kepada curahan hujan lebat pada kejadian banjir 2006 dan 
2007.

“Keragaman iklim semulajadi MJO menyebabkan kadar taburan hujan luar biasa berlaku melebihi 1000 milimeter (mm) antara 21 hingga 24 Disember tahun lalu. “Pada tarikh ini dicatatkan pusat perolakan MJO berada di bahagian timur Lautan Hindi dan keadaan tersebut turut ditambah angin timuran Laut China Selatan yang membawa lembapan turut tertumpu di sekitar kawasan pantai timur dan mengakibatkan hujan lebat,” katanya. MJO merupakan antara fenomena dalam keragaman iklim tropika yang berlaku sekali antara 20 hingga 60 hari berbanding fenomena iklim yang lain seperti El Nino antara tiga hingga tujuh tahun sekali.

Sementara itu, pensyarah kanan. Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, Prof. Datuk Dr. Othman Abdul Karim berkata, unversiti tersebut telah menubuhkan Briged Banjir UKM untuk tujuan tersebut sejak itu yang terdiri daripada staf dan juga pelajar universiti tersebut. “Usaha yang dilakukan oleh briged ini tidak terhad kepada bantuan ketika banjir sahaja, malah aktiviti diteruskan selepas bencana tersebut.

“UKM memiliki beberapa kampung angkat selepas misi bantuan banjir dengan tujuan untuk melaksaan susulan serta mengeratkan kali hubungan diantara sukarelawan dan mangsa banjir yang terlibat,” katanya.