Dekan Penyelidikan Bersekutu (Pembinaan) UTM, Prof. Dr. Muhd. Zaimi Abd. Majid berkata, antara model yang diperkenalkan ialah rumah Fast-Track Wall (FTW) yang boleh dibina dalam tempoh 20 hari dan menelan kos RM40,000.

Beliau yang menghasilkan model kediaman tersebut berkata, kerja-kerja pemasangan kediaman tersebut hanya memerlukan lima orang pekerja mahir bagi membangunkan rumah tersebut yang berkeluasan 219 meter persegi dan dilengkapi dengan tiga buah bilik dan satu bilik air.

“Model rumah FTW pelbagai reka bentuk ini mendapat pengiktirafan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan mula dibina pada 2007 dan hingga kini kita telah membangunkan 12 buah rumah di Batu Pahat, Plentong, Kulaijaya dan Muar.
“Inilah cara UTM bagi membantu mangsa banjir dari segi penggunaan teknologi dan membuka ruang kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk membina rumah kepada mangsa banjir dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Muhd. Zaimi memberitahu, UTM turut menyediakan sebuah lagi model rumah yang dapat disiapkan dalam masa yang singkat, iaitu rumah kontena dua tingkat berkeluasan203 kaki persegi dengan kos RM120,000.

Menurutnya, reka bentuk rumah berkenaan dihasilkan oleh Pensyarah Kanan UTM, Dr. Tan Cher Siang menggunakan kontena terpakai bagi tingkat bawah, manakala tingkat atas menggunakan bahan besi ringan. “Rekaan rumah ini cukup ter-kenal dan sesuai untuk kegunaan keluarga yang kecil. Rumah yang dilengkapi dua bilik dan satu bilik air ini dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, UTM turut memperkenal model rumah Amfibia yang direka oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Ibrahim Mohamad menggunakan prinsip 'Archimedes' sebagai penyelesaian terhadap masalah banjir yang kerap melanda negara ini.

Beliau berkata, bahagian bawah rumah dipasang dengan konkrit ‘pontoon’ yang boleh terapung secara vertikal apabila paras air meningkat selain dilengkapi sistem sokongan lateral dengan memasang tiang di sekelilingnya bagi mengawal kenaikan rumah secara stabil.

“Dengan menggunakan rekaan ini, rumah tidak akan mengalami kerosakan ketika dilanda banjir. Rumah Amfibia ini hanya boleh dihasilkan apabila kita membina rumah baharu dan memakan masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan,” katanya sambil memaklumkan perbelanjaan untuk menghasilkan apungan berjumlah RM20,000 tidak termasuk kos pembinaan rumah berkenaan.