Gerrard, 34, mengumumkan Jumaat lalu bahawa dia telah membuat keputusan untuk meninggalkan Liverpool selepas 25 tahun bersama kelab itu, yang menyaksikannya membuat 695 penampilan dan meledakkan 180 gol.

“Saya akan bermain di Amerika. Tetapi saya belum memutuskan pasukan mana yang akan saya sertai. Saya semakin hampir membuat keputusan itu dan sebaik sahaja saya mendapat kepastian, saya akan membuat peng­umuman,” katanya kepada stesen televisyen Liverpool, LFC TV.

Media di Britain melaporkan, Gerrard bakal mengikut langkah bekas rakan sepa­sukannya dalam skuad England, David Beckham yang menyertai Los Angeles Galaxy dan pemain tengah itu juga berpeluang bertemu semula de­ngan Robbie Keane yang pernah beraksi bersama Liverpool.

Di Amerika Syarikat, ESPN.com memetik sumber, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu Gerrard akan menyertai Galaxy untuk kontrak selama 18 bulan dan dijangka menerima bayaran sebanyak AS$6 juta (RM21 juta) setahun.

Bagaimanapun, kelab itu enggan mengesahkan laporan berita tersebut.
“Kami tidak akan memberi sebarang komen mengenai pemain yang tidak menandata­ngani dengan LA Galaxy,” kata jurucakap kelab, Brendan Hannan kepada AFP semalam.
Gerrard berkata, dia terpaksa mengharungi tempoh 24 jam yang cukup beremosi sejak meng­umumkan dia bakal meninggalkan Liverpool, tetapi masih membuka pintu untuk dirinya kembali ke pangkuan kelab kesayangannya itu pada masa hadapan.

“Setiap orang memiliki pandangannya sendiri, tetapi bagi saya sebaik sahaja musim panas tiba nanti, merupakan masa yang sesuai untuk saya berpindah dan cuba menimba pengalaman berbeza dengan meninggalkan kelab dan juga bandar ini buat seketika sebelum kembali semula ke sini.

“Perlawanan dan sesi latihan terakhir pasti amat beremosi buat saya kerana sangat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal. Tetapi ia lebih kepada mengucapkan jumpa anda lagi nanti berbanding ucapan selamat tinggal,” katanya.

Gerrard berkata, keputusannya meninggalkan Liverpool turut menjejaskan perasaan tiga orang anak perempuannya yang sukar untuk menerima kenyata­an bapa mereka tidak lagi bermain bersama Reds.

Namun, dia berjanji untuk melakukan apa sahaja bagi melakar pencapaian terbaik sebelum meninggalkan Liverpool. – AFP