Global Fix Generation (GFG) kini sudah boleh dibanggakan kerana menjadi antara pakar membaiki telefon pintar keluaran Apple dan BlackBerry, selain jenama telefon pintar dunia yang lain.

“Mulanya saya mengenali Afandi melalui laman sosial, Facebook. Ketika itu, saya mahu membaiki iphone 4 yang rosak.

“Kemudian kami membuat temujanji untuk berjumpa di kedai mamak bagi membaiki masalah kerosakan telefon tersebut. Saya berasa kagum kerana Afandi dapat membaiki kerosakan dengan kadar segera,” kata Hazrul, 27 tahun.

Katanya, pertemuan pertama itu tidak berhenti setakat hari tersebut, sebaliknya ia menjadi detik permulaan mereka sebagai kawan rapat serta permulaan jalinan kerjasama dalam bidang perniagaan yang tidak disangka-sangka itu.

Kebetulan, Hazrul yang merupakan penjual telefon pintar secara separuh masa akan merujuk setiap masalah kerosakan peranti milik pelanggan kepada Afandi. Begitu juga Afandi yang akan membaiki setiap telefon pintar yang dihantar rakannya itu.
Tanpa dirancang, secara spontan mereka berdua merancang untuk menggunakan kemahiran masing-masing dengan menubuhkan sebuah syarikat dinamakan GFG, khusus menyediakan perkhidmatan membaiki telefon pintar.

Menurut Afandi, 30, pada peringkat awal, mereka hanya membaiki kerosakan kecil-kecilan pada telefon pintar sebelum berdikit-dikit membaiki kerosakan yang lebih besar.
“Kelainan yang dibawa GFG adalah membaiki telefon pintar secara bersemuka dengan pelanggan. Malah, masa diambil juga tidak begitu lama seperti berhari-hari di kedai lain.
“Selain itu, kami juga masih mengekalkan identiti sedia ada iaitu memberi perkhidmatan secara bergerak bagi memudahkan pelanggan,” ujarnya yang mempelajari selok-belok membaiki telefon pintar melalui YouTube dan pemerhatian sendiri.

Tambah Afandi, GFG menyediakan khidmat membaiki telefon pintar di seluruh Malaysia dengan pelanggan di luar Lembah Klang hanya perlu mengirim melalui pos.
Ujarnya yang sudah mampu membaiki iphone 6, dia dan Hazrul bersedia ke kediaman pelanggan bagi membaiki masalah telefon pintar mereka dengan caj kos pengangkutan yang berpatutan.

“Kami turut memberi cadangan dan khidmat nasihat kepada pelanggan supaya mereka tidak mengalami kerugian.

“Sebagai contoh, jika kos membaiki lebih mahal daripada membeli telefon baharu, maka kami akan menasihati mereka untuk menggantikan yang baharu sahaja,” katanya lagi. – 

DHIYA’ZULHILMI DAUD / ROY AZIS
Nama Syarikat: GLobal Fix Generation
Alamat: M2B-26, TIngkat 1, Jalan Pandan Indah 4/1A, 55100, KL Laman Web: www.gfgteam.com 
Perkhidmatan: Membaiki telefon pintar Apple, BlackBerry, Samsung dan lain-lain
Nama Penuh: Hazrul Ermey Raya
Nama Panggilan: Hazrul / Izumi
Asal: Melaka
Telefon: 010-7001800
Emel: jack@gfgteam.com
Nama Penuh: Afandi Amir
Nama Panggilan: Afandi
Asal: Johor
Telefon: 013-4060008
Emel: fendy53@gfgteam.com