Pada perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tersebut Malaysia sekadar meraih keputusan seri 4-4 ke atas Poland.

Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Tai Beng Hai berkata, Faizal dihukum kerana tidak hadir untuk sesi latihan sebelah pagi semalam tanpa alasan kukuh.

Katanya, dia hanya memilih pemain yang serius sahaja untuk diberikan peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Malah Beng Hai turut memberi­tahu rekod kedatangan pemain semasa latihan adalah antara perkara utama yang diberikan perhatian untuk terpilih menyertai skuad utama negara yang akan menyertai Liga Hoki Dunia 2 di Singapura minggu depan.

“Ini boleh dikira sebagai hukuman buat Faizal juga kerana tidak hadir latihan pagi tadi (semalam) dan dia hanya akan dibenarkan beraksi pada perlawanan persahabatan kedua menentang Poland nanti.

“Pemain lain yang tidak hadir latihan memberikan alasan yang munasabah dan saya terima tetapi pemain yang tiada komitmen mungkin akan terlepas peluang mewakili Malaysia,” kata Beng Hai kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan tersebut.
Pada perlawanan itu Malaysia kurang mempamerkan aksi sebenar untuk membenarkan Poland mendapat beberapa gol mudah.

Empat gol Malaysia diperoleh menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim yang meledak dua gol serta Muhammad Marhan Mohd. Jalil dan Muhammad Ramadan Rosli masing-masing menjaringkan satu gol.

Gol-gol Poland pula diraih melalui Maich Rzak, Krystian Markowski, Michal Poltaszewski dan Chwalesz Adam.

Sementara itu, pengurus pasukan Poland, Tomasz Cichy berkata, Malaysia amat bagus ketika melancarkan serangan balas.

“Malaysia adalah pasukan yang perlu diberikan perhatian serius (di Singapura kelak) kerana permainan mereka amat pantas.

“Pada perlawanan ini kami tidak mempamerkan semua taktikal pasukan kerana menyimpannya untuk aksi Liga Hoki Dunia 2 di Singapura,” kata Cichy.