Dalam tempoh 18 bu­lan, Reds telah me­nyak­si­kan Jamie Carragher ber­sara, Luis Suarez berpindah ke Barcelona dan Gerrard mengumumkan bakal meninggalkan ke­lab yang disertainya se­jak berusia sembilan tahun.

Rodgers menolak cadangan bahawa kelab boleh berusaha lebih bagi memujuk ikon di Anfield itu yang bakal me­nyambut ulang tahun ke-35 pada Mei ini agar kekal bersama Liverpool, walaupun penyokong turut berasa terkejut dengan pengakuan pengurus tersebut yang Gerrard tidak ditawarkan jawatan sebagai staf kejurulatihan.

Namun, pemilik Liverpool kini sudah pasti menjadi perhatian me­ngapa perlu menunggu hingga November untuk membuat tawaran kontrak baharu kepada bekas kap­ten England itu.

Rodgers sendiri meningkatkan te­kanan ke atas John W. Henry dan Fenway Sports Group yang berpangkalan di Boston apabila pengurus itu mengakui wang diperlukan sekarang untuk membeli pemain berkelas dunia.

“Sebahagian besar skuad kami adalah pemain muda, tetapi memang tidak diragui jika anda mahu melangkah ke depan, anda perlu menandatangani bintang sedia ada. Model tentang kelab bola sepak ini cukup jelas apabila pemilik lebih berminat membawa masuk pemain muda dalam usaha untuk memba­ngun dan membentuk pemain bertaraf dunia.
“Sudah tentu itu merupakan satu perancangan jangka panjang dan proses tersebut lebih sukar. Pemilik lebih cenderung untuk bertindak sedemikian. Mereka tahu tidak semua pemain boleh berkembang.

“Jika anda mahu terus berkembang maju, anda juga memerlukan pemain sedia ada yang berkelas dunia,” kata Rogers, yang menyaksikan kelab melabur sebanyak 75 juta pound (RM404 juta) hasil penjualan Suarez pada musim panas dengan membeli pemain muda berpotensi.

Liverpool mengeluarkan peruntukan besar sebanyak 113 juta pound (RM609 juta) untuk menandatangani Adam Lallana, Dejan Lovren, Lazar Markovic, Mario Balotelli, Alberto Moreno, Emre Can dan Divock Origi.

Polisi merekrut pemain gagal membantu Liverpool untuk mengulangi pencapaian musim lepas setelah hampir-hampir menjulang gelaran. Reds kini sekadar menghuni kedudukan kelapan dalam Liga Perdana Inggeris dan telahpun tersingkir daripada Liga Juara-juara.
Liverpool turut berbelanja besar untuk memikat Daniel Sturridge agar menandatangani kontrak baharu yang membolehkan pe­main itu menerima gaji 150,000 pound (RM808,487) seminggu, dengan Raheem Sterling dijangka mengikut langkah sama dengan mengikat perjanjian yang lumayan pada penghujung bulan ini.

Mengulas lanjut mengenai Gerrard yang tidak ditawarkan sebagai staf kejurulatihan, Rod­gers memberitahu, kapten Li­verpool itu masih berminat untuk bermain berbanding bergelar seorang jurulatih buat masa ini.– AGENSI