Menurut laporan portal Mail Online, teknik kejuruteraan yang menakjubkan itu dihasilkan oleh syarikat Shanghai WinSun Decoration Design Engineering Co. yang mempelopori bidang itu apabila ‘mencetak’ 10 bangunan menggunakan teknologi 3D dengan hanya melibatkan kos sebanyak 28,742 yuan (RM16,683) kira-kira 10 bulan lalu.

Kini syarikat tersebut mengaplikasikan teknologi berkenaan untuk membina bangunan kediaman yang pertama dan tertinggi di dunia menggunakan teknik 3D dengan setiap rumah mempunyai ketinggian 6.4 meter, 9.7 meter lebar dan 152.4 meter panjang.
Malah ‘dakwat’ yang digunakan oleh firma terbabit merupakan campuran bahan binaan terbuang termasuk kaca, besi dan simen yang disembur secara berlapis sehingga dinding bangunan itu kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Ma Yi He berkata, industri pembinaan tradisional sering menghasilkan sejumlah besar karbon tetapi dengan teknik cetakan 3D, bahan buangan boleh diguna semula, selain boleh mengurangkan risiko pekerja binaan daripada terdedah kepada ancaman bahan berbahaya.

“Teknologi cetakan 3D berpotensi mewujudkan suasana yang kurang bising, lebih bersih dan menyejukkan mata di tapak pembinaan.b“Proses untuk menggunakan teknologi itu sangat mahal tetapi harga 927,189 yuan (RM538,163) bagi setiap rumah 3D yang dibina lebih murah berbanding dibina secara tradisional,” katanya.

Menurut Ma, syarikatnya turut mencetak rumah contoh setinggi satu tingkat yang ditempah oleh kerajaan Mesir. “Rumah tersebut dicetak dalam tempoh sehari dan kami menerima tempahan sebanyak 20,000 unit dari Kaherah,” katanya.